Amalan Kesihatan Untuk Mengelakkan Bayi Cacat
Berhenti Merokok
Ramai wanita sekarang yang merokok. Sekiranya anda berhasrat untuk mendapat bayi yang sihat dan sempurna sebaiknya hentikan amalan ini. Merokok ketika hamil akan mengakibatkan bayi yang anda kandung lahir dengan berat badan yang kurang.
Makan Makanan Sihat
Makanlah menu makanan yang mengandungi lima jenis makanan utama yang paling diperlukan oleh tubuh. Setiap hari anda perlu mengambil makanan berupa gandum, sayuran, susu, produk yang mengandungi susu, daging dan protein.
Elakkan Alkohol
Alkohol dan kafein adalah dua perkara yang perlu dijaga oleh wanita yang hamil. Tidak ada kadar alkohol atau kafein yang selamat untuk diambil oleh wanita ketika hamil. Kafein yang terdapat dalam minuman seperti teh, kopi, soda dan coklat juga harus dikurangkan.
Nasihat Doktor
Jangan mengambit ubat-ubatan tanpa cadangan doktor. Mengambil ubat-ubatan tanpa nasihat doktor dengan dos yang tidak tepat akan membahayakan bayi dalam kandungan.
Ambil Asid Folik
Ia penting diambil oleh wanita yang baru hamil. Kajian yang dilakukan menunjukkan pengambilan asid folik sebelum kehamilan mampu menurunkan risiko melahirkan bayi dengan kecacatan otak dan sum-sum tulang belakang hingga 80 peratus.
Pengurusan Baru Asma
Prof. Liam Chong-Kim.
Presiden Pertubuhan Torasik Malaysia.
Batuk. Berdehit. Dada berasa ketat. Kesukaran bernafas. Ini merupakan beberapa gejala yang sering dijelaskan oleh Puan Aminah (bukan nama sebenar) dan ramai lagi penghidap asma - kadangkala setiap hari akibat kawalan asma yang tidak baik.
Bagi Puan Aminah dan dua juta rakyat Malaysia yang menghidap asma, gejala-gejala ini telah menjadi kebiasaan serta cenderung meningkat sekiranya tidak dikawal dengan betul.
Asma adalah keadaan di mana terdapat keradangan kronik pada saluran pernafasan. Apabila terdedah pada sesetengah penyebab alahan, saluran pernafasan membengkak dan sempit, menyebabkan gejala asma.
Mereka yang menghidapi asma mengalami penderitaan pada kadar purata tiga hingga lima hari bagi setiap serangan akut di mana asma mereka tidak terkawal. Kenyataannya, lebih kurang 20 episod serangan asma dialami oleh setiap orang dewasa setiap tahun.
Ini mungkin kelihatan sedikit, namun serangan ini amat melesukan bagi seorang pesakit asma yang terpaksa ditahan di hospital dan menyebabkan aktiviti harian mereka terganggu.
Kenapa Serangan Ini Berlaku?
Keradangan serta kesempitan saluran pernafasan menyebabkan batuk, berdehit, dada berasa ketat serta pernafasan yang tersekat-sekat. Keradangan salur pemafasan adalah punca masalah ini. Malangnya, kebanyakan penghidap asma mengabaikan rawatan radang walaupun diarahkan oleh doktor.
Kebanyakan penghidap asma mengalami gejala-gejala tertentu sebelum serangan berlaku. Namun masalahnya, mereka terlampau bergantung kepada alat penyembur pelega berwarna biru, sehingga mengabaikan alat sedut pencegah. Penghidap asma perlu memahami bahawa kedua-dua ubat pencegah dan pelega diperlukan untuk kawalan asma yang betul.
Kedua—duanya mempunyai fungsi tersendiri dan tidak boleh ditukar ganti, dan inilah sebabnya kenapa ramai yang bergantung sepenuhnya kepada alat sedut pelega biru tidak melihat sebarang perubahan pada keadaan mereka.
Ubat pencegah merawat punca keradangan, dan patut digunakan setiap hari bagi tujuan pencegahan. Alat penyembur pelega berwarna biru hanya digunakan apabila perlu - selalunya apabila saluran pernafasan menjadi sempit untuk kelegaan cepat.
Adalah penting untuk mengingati bahawa alat penyembur biru tidak merawat keradangan, dan pergantungan melampau tidak akan membantu pengawalan asma.
Pengurusan asma yang betul memerlukan para penghidapnya menggunakan kedua-dua ubat kerana merawat keradangan adalah langkah perlu dalam mengawal asma agar serangan dapat dicegah.
Ramai pesakit gagal memahami kepentingan menggunakan kedua-dua ubat sebagai sebahagian pengurusan asma mereka. Ramai pesakit tidak dapat membezakan fungsi ubat yang berlainan warna, dan penggunaan pelbagai ubat mengelirukan sesetengah mereka.
Terapi dan Pelega dengan Satu Alat Sedut
Sekiranya punca masalah ada pada keradangan saluran pernafasan, maka penyelesaiannya adalah mencegah atau mengawal keradangan ini.
Kunci kepada pengurusan asma yang betul dan pencegahan serangan adalah memberikan rawatan awal serta secukupnya bagi punca keradangan salur pernafasan. Para pesakit asma perlu mendapatkan nasihat pakar perubatan untuk mengetahui cara terbaik merawat asma mereka.
Tinjauan International Asthma Patient Insight Research (INSPIRE) mendapati para pesakit mahukan kelegaan segera dan terapi asma mereka; dan majoritinya memilih untuk bergantung kepada satu alat penyembur dan mengurangkan ubat-ubatan lain.
Pakar perubatan hari ini, menuruti panduan Global initiative for Asthma (GINA) dan akan merawat pesakit asma berdasarkan kawalan dan bukan tahap asma. Pendekatan terbaru kepada pengurusan asma dikenali sebagai Single inhaler Maintenance And Reliever Therapy — atau mudahnya SMART. SMART ialah terapi pencegah dan pelega dengan satu alat sedut.
Dengan SMART, pesakit asma hanya memerlukan satu alat sedut kerana ia memberi kedua-dua dos pencegah harian serta pelega sekiranya diperlukan. Alat sedut baru ini mudah dikenali oleh warnanya - alat sedut merah turbuhaler — yang membezakannya dan ubat yang kini digunakan. Keperluan bergantung kepada satu alat sedut sahaja bermakna para pesakit asma tidak lagi keliru seperti dahulu.
Penyelidikan klinikal yang terperinci telah dilakukan untuk pendekatan baru ini. Lebih dari 14 pesakit seluruh dunia, termasuk rakyat Malaysia telah mengambil bahagian dalam program pembangunan klinikal SMART.
Hasilnya menunjukkan bahawa SMART memberi kawalan asma menyeluruh yang lebih baik serta mengurangkan risiko serangan asma yang serius.
Bukan Tentang Perubatan Sahaja
Dengan pendekatan SMART, pesakit asma boleh mengharapkan kelegaan segera, kawalan asma yang lebih baik serta peningkatan kualiti hidup bagi jangka masa panjang. Akan tetapi, beberapa perubahan kecil mampu merubah pelbagai keadaan.
Para pesakit asma boleh mempraktikkan beberapa langkah mudah untuk membantu dalam kawalan asma mereka:
- Dapatkan nasihat doktor terlebih dahulu - setelah mendapat diagnosis yang betul, barulah terapi pengurusan asma yang terbaik bagi seseorang pesakit dapat disyorkan.
- Awasi gejala asma anda - kenali gejala asma anda dengan baik serta perhatikan reaksi tubuh anda. Bertindak segera untuk mengawal asma anda.
- Kenali ubat-ubatan anda - patuhi nasihat doktor mengenai perubatan asma, dan bila anda perlu mengambilnya. Anda boleh memudahkan pengurusan asma anda dengan mengguna turbuhaler merah cara SMART dan bukan pelbagai alat sedut.
- Jauhi faktor-faktor cetusan asma - asma adalah penyakit yang berubah-ubah; banyak faktor boleh mencetuskan serangan, oleh itu awasi punca serangan anda. Adakah ia asap rokok, habuk, pencemaran atau sesetengah jenis makanan?
Batu Karang Hempedu
Oleh: Shafinaz Sheikh Maznan, Utusan Malaysia
Dr. Abd. Hamid Mat Sain
Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan
Hati menghasilkan hempedu - sejenis cecair berwarna coklat kehijauan yang mengandungi garam hempedu, cecair lemak, kolestrol dan bahan-bahan kimia lain.
Cecair pekat ini disimpan di dalam pundi hempedu sehingga ia diperlukan untuk mencerna lemak di dalam usus kecil anda. Apabila makan, pundi hempedu anda akan mengecut dan membebaskan hempedu melalui duktus sistik dan memasuki duktus hempedu biasa.
Kemudian, duktus hempedu ini akan membawa hempedu ke bahagian atas usus kecil (duodenum) di mana ia akan mula memecahkan lemak dalam makanan anda.
Bagaimanapun, menurut Dr. Abd. Hamid Mat Sain, jika hempedu anda tidak mempunyai bahan kimia yang seimbang, ia akan membentuk menjadi partikel keras dan seterusnya menjadi batu karang.
"Proses ini akan mengambil masa selama beberapa tahun. Saiz batu karang hempedu ini adalah sekecil sebutir pasir atau sebesar bola golf yang licin serta bulat atau tidak tentu bentuknya dengan permukaan yang kasar.
"Anda mungkin mempunyai seketul atau beratus-ratus ketul batu karang hempedu di dalam tubuh anda," kata Pakar Runding Bedah Am dan Laparoskopik, ColumbiaAsia Medical Centre, Seremban, Negeri Sembilan itu.
Seperti kebanyakan orang yang pernah menghidap penyakit batu karang hempedu, anda juga boleh mengalaminya tanpa sedar kerana ia boleh hadir tanpa sebarang simptom atau memerlukan rawatan perubatan.
Jika anda seorang wanita yang berusia dan mempunyai tubuh yang agak berisi, risiko untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu ini agak tinggi.
Simptom-simptom
- Rasa senak yang kronik yang ditandai dengan rasa mual, angin, kembung perut dan kadangkala sakit di bahagian abdomen.
- Kesakitan yang datang secara tiba-tiba, konsisten dan sederhana bertukar menjadi kesakitan yang teramat sangat di bahagian tengah dan kanan atas abdomen, kata Dr. Abd. Hamid.
"Ini mungkin menandakan serangan penyakit batu karang hempedu akan berlaku. Rasa sakit itu mungkin berlaku selama satu hingga dua jam selepas makan tetapi ia juga boleh terjadi pada waktu malam.
Selalunya, rasa sakit itu memakan masa dari 15 hingga 30 minit ke beberapa jam. Sakit batu karang hempedu bermula di bahagian tengah dan kanan atas abdomen dan pada waktu-waktu tertentu, akan menular ke belakang atau bahu kanan," jelasnya.
Selepas rasa sakit berkurangan, seseorang mungkin mengalami rasa sakit yang sederhana atau kesakitan di bahagian atas abdomen selama satu hari atau lebih. Serangan batu karang hempedu tidak menentu. Ia boleh mengambil masa selama berminggu-minggu, berbulan bulan atau bertahun-tahun lamanya. - Loya dan muntah. Kadangkala, batu karang hempedu terperangkap di pangkal pundi hempedu dan mengakibatkan rasa sakit yang berterusan atau mengalami demam panas.
Apabila ini berlaku, anda dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan dengan segera. Tambah Dr. Abd. Hamid, ada ketikanya, batu karang hempedu terlepas dari pundi hempedu dan masuk melalui duktus dari hati dan pundi hempedu ke usus kecil (duktus hempedu biasa). Ia juga boleh masuk melalui duktus yang menghala ke pankreas.
"Terdapat beberapa kes di mana ketulan batu karang mungkin tersumbat dan menyekat duktus, mengakibatkan komplikasi yang dikenali sebagai pankreatitis. Besar kemungkinan anda akan mengalami kesakitan dan demam disebabkan pembengkakan di kawasan tersebut. Jika tidak dirawat segera, ia boleh mengancam nyawa," katanya.
Beberapa tanda dan simptom duktus hempedu yang tersumbat termasuklah kulit yang kekuningan dan kawasan mata menjadi putih (jaundis), air kencing berwarna gelap, demam panas dan sejuk.
"Jika anda mengalami satu atau lebih simptom halangan duktus hempedu - sakit di bahagian abdomen, warna kekuningan di kulit dan warna putih di mata (jaundis), air kencing yang gelap, dan demam panas dan sejuk - sila dapatkan penjagaan kecemasan.
"Perlu juga diingatkan bahawa ada waktunya, anda akan mengalami jaundis dan perubahan pada warna air kencing dan najis tanpa kesakitan atau senak yang teruk. Ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum anda perasan perubahan warna itu," terang Dr. Abd. Hamid.
Faktor-faktor Risiko
Batu karang hempedu merupakan suatu penyakit yang diwarisi secara turun-temurun dan tidak dapat dihalang pembentukannya. Faktor-faktor lain mungkin meningkatkan risiko penyakit ini seperti:
- Wanita di antara umur 20 dan 60 tahun lebih berisiko untuk menghadapinya dua kali ganda lebih daripada lelaki.
- Sewaktu indeks jisim tubuh (BMI) meningkat, risiko anda untuk menghidapi penyakit batu karang hempedu juga meningkat.
- Diet yang berkalori rendah dan menghilangkan berat badan dengan cepat akan mengganggu sistem kimia, menyebabkan pundi hempedu anda kurang mengecut sekali gus meningkatkan risiko anda menghidapi penyakit batu karang hempedu.
- Kebarangkalian anda menghidapi penyakit batu karang hempedu turut meningkat seiring usia anda.
Jenis-jenis batu karang hempedu
- Batu karang hempedu berkolesterol. Batu-batu karang hempedu yang berwarna kuning mengandungi kolesterol yang tidak terlarut, walaupun ia mungkin mengandungi komponen-komponen lain seperti kalsium dan bilirubin (sisa-sisa sel darah merah yang lemah). Sebanyak 80 peratus batu karang hempedu adalah batu kolesterol.
- Batu karang hempedu berpigmen. Batu-batu kecil berwarna coklat gelap atau hitam terbentuk apabila terdapat terlalu banyak bilirubin. Ia boleh dihidapi oleh mereka yang mengalami sirosis, jangkitan trek biliari dan anaemia sel sikel yang menghasilkan bilirubin secara berlebihan.
- Batu karang hempedu duktus primer. Batu-batu ini akan terlepas ke dalam duktus nanah anda dan membentuk duktus itu sendiri. Walau bagaimanapun, batu karang jenis ini agak jarang berlaku.
Diagnosis
Dr. Abd. Hamid memberitahu, kebanyakan batu karang hempedu lebih-lebih lagi yang tidak menunjukkan tanda-tanda atau simptom-simptom, dikesan sewaktu ujian dijalankan - termasuk ujian ultrasound atau imbasan tomografi berkomputer - yang dilakukan atas sebab-sebab lain.
"Jika anda mempunyai tanda-tanda atau simptom-simptom penyakit batu karang hempedu, doktor anda akan mengesyaki anda mempunyai penyakit tersebut berdasarkan latar belakang perubatan keluarga anda dan pemeriksaan fizikal.
"Sewaktu pemeriksaan tersebut, doktor anda akan memeriksa jaundis di kulit atau keputihan di mata anda dan abdomen anda akan diperiksa secara palpasi untuk melihat sama ada ia akan terasa sakit apabila disentuh."
Jika doktor anda mengesyaki anda menghidapi penyakit batu karang hempedu, anda mungkin terpaksa melakukan ujian darah untuk memeriksa tanda-tanda jangkitan, tahap enzim pankreatik atau hati yang tidak normal, atau bilirubin yang berlebihan.
Rawatan
Doktor-doktor sering kali menemui 'batu-batu senyap' ini sewaktu pemeriksaan kesihatan yang rutin untuk mengesan penyakit lain dan selalunya, pesakit disarankan untuk 'tunggu dan lihat' daripada merawat.
Walau bagaimanapun, jika batu karang hempedu anda menunjukkan simptom-simptom, terdapat rawatan pembedahan dan bukan pembedahan yang boleh dilakukan.
Pembedahan
- Pembedahan laparoskopik kolesistektomi. Kebanyakan surgeri pundi hempedu dijalankan menggunakan laparoskop – sejenis tiub senipis pensel dengan sistem lampu dan kamera video yang kecil.
Hanya beberapa insisi kecil akan dilakukan. Anda kurang berasa sakit selepas pembedahan, kurang parut dan boleh kembali melakukan aktiviti seharian hanya dalam beberapa hari. - Pembedahan terbuka. Pundi hempedu akan dikeluarkan melalui insisi besar di abdomen. Selepas surgeri dilakukan, hati anda akan terus menghasilkan hempedu yang secukupnya untuk mencernakan diet yang normal.
Bukan pembedahan
Batu-batu karang akan terbentuk berulang kali apabila rawatan bukan surgikal dilakukan. Walau bagaimanapun, apabila surgeri bukanlah pilihan utama si pesakit, doktor anda akan mencadangkan salah satu daripada pilihan berikut:
- Pil garam hempedu. Doktor akan menyarankan pengambilan ubat ursodial (Actigall), yang akan melarutkan batu-batu kolestrol dalam beberapa waktu yang ditetapkan. Rawatan ini sesuai dilakukan untuk batu-batu karang yang kecil.
- Terapi gelombang bunyi (litotripsi gelombang kejutan extracorporeal). Rawatan ini menggunakan gelombang bunyi yang berfrekuensi tinggi untuk memecahkan batu-batu karang. Batu-batu karang akan terben