Google will help you...

Custom Search

Link Kesihatan

Kepentingan Makanan Berkhasiat

Kepentingan Pengambilan Makanan Seimbang


Kepentingan Makanan Berkhasiat



Kesihatan diri merupakan harta yang paling berharga namun ramai yang tidak menyedarinya sehingga ditimpa sesuatu penyakit yang tenat. Ramai juga yang tidak menyedari akan peranan pengambilan makanan yang berkhasiat untuk memastikan kesihatan yang baik. Punca utama serangan penyakit-penyakit tenat seperti kanser dan penyakit jantung ialah kerana tidak memakan makanan yang sempurna dan kurang memakan makanan yang berkhasiat serta kurang bersenam. Corak pengambilan makanan yang teratur sepatutnya dimulakan sejak awal lagi. Pepatah ada mengatakan, “ Diri Anda Ialah Apa Yang Anda Makan ” dan kenyataan ini benar dalam soal kesihatan.


Malaysia dikatakan mempunyai masalah obesiti yang serius.


“ Empat daripada sepuluh orang dewasa yang melebihi usia 18 tahun di negara ini sama ada mengalami kegemukan atau terlebih berat badan (obesiti). ”


Sumber dari berita harian



Makanan seimbang ialah pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan daripada makanan seimbang ini.


1.  Pembesaran manusia itu lebih sempurna daripada aspek fizikal.


Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang kurang menjaga aspek pemakanannya.


2.  Memberikan vitamin yang cukup kepada badan.


Keperluan vitamin yang cukup ini menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya, manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat sejahtera sahaja.


3.  Mampu mengawal kadar obesiti.


Salah satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan. Pengawalan pemakanan sebegi menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.


4.  Perkembangan mental seseorang itu tidak terganggu.


Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan.


Kesimpulannya


Kita perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya sudah dinyatakan tadi. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik di negara ini akan bertambah pula. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita semua mengambil langkah pencegahannya. “Tepuk dada tanya selera”.




  

 Makanan Seimbang Kurangkan Risiko Penyakit Berbahaya




Pengambilan makanan berkhasiat, berzat dan seimbang sering disarankan untuk memastikan anda sentiasa sihat dan bebas daripada pelbagai penyakit berbahaya. Ini kerana pengambilan makanan seimbang dalam diet seharian dapat membantu mengurangkan risiko beberapa penyakit, termasuk kanser, serangan jantung dan angin ahmar, tekanan darah tinggi, lebihan kolesterol, osteoporosis dan spina bifida. Sejauh manakah makanan dapat membantu anda menjauhkan diri daripada penyakit berbahaya?


1.  Kanser (Barah)


Makan buah-buahan dan sayur-sayuran dapat membantu mengurangkan risiko kanser kolon, perut, paru-paru dan esofagus. Bagaimanapun, bukti yang menunjukkan pengurangan risiko itu tidak sekuat sebagaimana kanser payu dara dan prostat.

Diet tinggi lemak sering dikaitkan dengan peningkatan risiko kanser prostat, kolon, rektum dan endometrium. Bagaimanapun diet tinggi lemak sukar dikaitkan dengan kanser payu dara tetapi ada bukti menunjukkan bahawa lemak tepu memainkan peranan penting dalam meningkatkan risiko kanser.


2.  Serangan jantung dan angin ahmar (Strok)


Satu kajian mendapati mereka yang mengikuti garis panduan pemakanan disarankan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA) mengalami 28% dan 14% pengurangan risiko terhadap serangan jantung dan strok berbanding mereka yang tidak mengikuti garis panduan itu.


3.  Lebihan kolesterol

Kurangkan pengambilan lemak, terutama lemak tepu akan merendahkan risiko mengalami lebihan kolesterol di dalam darah, sekaligus risiko terhadap penyakit jantung koronari.


4.  Tekanan darah Tinggi


Mengambil banyak buah-buahan dan sayur-sayuran (8 hingga 10 hidangan) diikuti diet rendah lemak dan mengambil produk tenusu (3 hidangan sehari) boleh mengurangkan risiko tekanan darah tinggi dan merendahkan tekanan darah, sekaligus mengurangkan risiko terhadap penyakit jantung koronari.


5.  Osteoporosis


Mendapat kalsium secukupnya akan melindungi anda daripada osteoporosis. Kalsium dijumpai dalam produk tenusu, sayuran hijau dan banyak lagi produk yang diperkaya dengan kalsium.


6.  Spina Bifida


Mengambil makanan yang mengandungi asid folik seperti sayur-sayuran hijau atau asid folik yang diperkaya dengan bijirin sebelum dan ketika hamil dapat membantu melindungi bayi daripada mengalami spina bifida.


Info dari: Panduan Penjagaan Kesihatan (Berita Harian)





Tips Diet Seimbang



Antara beberapa tips diet seimbang yang boleh diamalkan.


1. Banyakkan makan makanan yang berbuah.


Kalau nak kira memang banyak sebenarnya buah yang sedap lagi berkhasiat. Diantaranya ialah buah apple, nenas, pisang, bawang putih, gandum, kentang, dan buah betik. Semua jenis buah yang disebut ini sebenarnya banyak khasiat tersendiri.


2. Banyakkan juga memakan kekacang.


Kacang pea, kekacang dan lentil adalah kaya dengan protein, karbohidrat, gentian dan beberapa vitamin (terutamanya vitamin B). Kacang soya yang sangat kaya dengan protein tumbuhan – boleh didapati dalam pelbagai bentuk seperti susu kacang soya, tauhu, tempe, protein sayuran bertekstur dan taugeh.


3. Banyakkan minum air.


Air adalah sangat penting untuk fungsi-fungsi tubuh anda, termasuk penghadaman, penyerapan dan pengangkutan zat, perkumuhan, pengawalan suhu badan dan bertindak sebagai pelincir bahagian tubuh yang bergerak. Tubuh kita akan kehilangan lebih kurang 11/2 hingga 21/2 liter air dalam satu hari melalui air kencing, tinja, peluh dan wap daripada paru-paru. Jangan tunggu sehingga sudah berasa dahaga, untuk menggantikan cecair yang telah hilang dari badan. Minum sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas air setiap hari. Cecair juga boleh didapati daripada minuman lain, buah-buahan, sayur-sayuran dan makanan lain.


4. Kurangkan kandungan lemak dalam makanan.


Sebenarnya lemak itu penting, tetapi dalam diet harus menyumbangkan 20% hingga 30% sahaja dalam jumlah keperluan tenaga harian.Jadi, oleh itu kita harus elakkan pengambilan lemak berlebihan dengan:

Memilih makanan yang rendah lemak dan kolesterol.

Menggunakan minyak masak dalam kuantiti yang sedikit sahaja.

Mengurangkan penggunaan santan atau minyak kelapa dalam masakan.

Memilih daging tanpa lemak, serta membuangkan kulit jika boleh (contoh: kulit ayam).

Menghadkan penggunaan lemak yang boleh dilihat (seperti marjerin, mentega, minyak salad, krim dan mayonis).

Mengamalkan kaedah masakan alternatif (seperti membakar, menggunakan ketuhar gelombang mikro atau mengukus) daripada menggoreng.


5. Kurangkan gula.


Makanan yang diproses dan makanan manis seperti kek coklat dan aiskrim mengandungi banyak gula yang memberikan sejumlah besar kalori tanpa khasiat makanan atau serat.Kehadiran gula juga menggantikan makanan yang berkhasiat dan menyingkirkan beberapa vitamin dan galian dari tubuh.Memakan gula yang berlebihan bermakna anda menanggung risiko kerosakan gigi, kegemukan dan masalah-masalah lain yang dikaitkan dengannya seperti kencing manis, serangan jantung dan sebagainya.


6. Kurangkan garam


Makanan segera, makanan dalam tin, daging yang diawet dan makanan ringan bergaram seperti kentang goreng, mengandungi terlalu banyak garam. Memakan terlalu banyak garam boleh menyebabkan tekanan darah tinggi yang akhirnya boleh membawa kepada serangan jantung atau strok.Sesetengah orang mungkin menghadapi masalah terlalu banyak air di bawah kulit (edema).


Sumber dari UTUSAN PENGGUNA